PEMAIN Indonesia, Jordi Amat berbangga dengan prestasi skuad Garuda dalam Piala Asia 2023 walaupun tewas kepada Australia 0-4, Pusingan 16 di Stadium Jassim bin Hamad, pada Ahad.
Indonesia baru sahaja mencipta sejarah dalam Piala Asia dengan layak buat kali pertama ke pusingan kalah mati dalam Piala Asia 2023.
Namun, kemaraan Indonesia terhenti selepas bolos empat jaringan hasil gol sendiri dari Elkan Baggott (12′), Martin Boyle (45′), Craig Goodwin (89′), dan Harry Souttar (90+1′) menumbangkan skuad Garuda.
Bagaimanapun, penolong kapten itu menaruh harapan tinggi kepada Indonesia pada masa hadapan. Pemain naturalisasi ini melahirkan rasa bangganya terhadap pasukan Merah Putih.
“Saya amat berbangga dengan pasukan saya,” kata Jordi Amat, dipetik AP.
Pertahanan Johor Darul Ta’zim turut mendedahkan beberapa faktor yang menyebabkan pasukan Indonesia tewas teruk kepada Australia.
Jordi yang dilahirkan di Sepanyol tidak lupa berpesan kepada rakan sepasukan supaya bekerja lebih keras demi pencapaian lebih baik buat pasukan kebangsaan Indonesia pada masa hadapan.
“Kami sedar dari awal ini akan menjadi perlawanan yang sukar.
“Mereka lebih klinikal pada separuh masa pertama. Kami mempunyai peluang tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Kami perlu bekerja dan kembali lebih kuat,” tambah Jordi.