CRISTIANO Ronaldo berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang masa dalam semusim Liga Arab Saudi.
Sejarah ini tercipta setelah Ronaldo berjaya membawa Al Nassr menang 4-2 ke atas Al Ittihad pada perlawanan penutup Liga Arab Saudi di Riyadh, awal pagi Selasa.
Ronaldo sendiri menjaringkan dua gol khas dalam perlawanan itu. Dua gol tambahan itulah yang menjadikan pemain berusia 39 tahun itu memecahkan rekod bersejarah dalam bola sepak Arab Saudi.
Ketika ini, Ronaldo telah menjaringkan sejumlah 35 gol dalam Liga Arab Saudi. Dia juga memecahkan rekod sepanjang masa untuk gol terbanyak dalam satu musim dalam Liga Pro Saudi.
I don’t follow the records, the records follow me. 🇸🇦 pic.twitter.com/rqywmmTfZD
— Cristiano Ronaldo (@Cristiano) May 27, 2024
Bekas bintang Real Madrid itu berjaya melepasi rekod penjaring terbanyak Liga Arab Saudi yang kini disandang Abderrazak Hamdallah dengan 34 gol.
Ronaldo mencipta rekod baharu ini selepas Al Nassr menang ke atas Al Ittihad. CR7 menyumbang dua gol cantik dalam perlawanan penutup Liga Arab Saudi musim ini.
Gol pertama Ronaldo datang sebelum separuh masa. Menerima hantaran jauh Mohammed AL Fatil, Ronaldo mengawal bola dengan dadanya sebelum melepaskan rembatan untuk membolehkan Al Nassr mendahului 1-0.
Sementara itu, gol kedua Ronaldo dicipta dengan tandukan hasil sepakan sudut Marcelo Brozovic.
Keputusan ini menjadikan Al Nassr menduduki tempat kedua dengan kutipan 82 mata. Sementara itu, gelaran juara menjadi milik Al Hilal yang kukuh di tangga teratas dengan 96 mata.