KETUA pasukan Thailand, Teerathon Bunmathan bertindak pantas meredakan provokasi yang dilakukan segelintir penyokong Thailand kearah penyokong Malaysia bagi memastikan tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku.
Kejadian itu berlaku selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang menyaksikan Thailand menewaskan Malaysia 3-0 dan layak ke perlawanan akhir.
Pemain yang berpengkalan di Jepun itu sememangnya dihormati para penyokong Thailand dan tindakannya itu harus diberikan pujian dan terbukti apabila dia diberikan sorakan gemuruh oleh penyokong Malaysia yang turut ada di Stadium Thammasat.
🇲🇾 Malaysia Fans 🤝 Thailand Players 🇹🇭#AFFMitsubishiElectricCup2022 |#BeTheGameChanger pic.twitter.com/NiBWViHV4d
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) January 10, 2023
Teerathon yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan itu berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu apa yang dialaminya dan pemain Thailand di Indonesia tidak terjadi kepada penyokong pasukan Malaysia di Bangkok.
“Saya minta para penyokong Thailand tidak melakukan provokasi kepada penyokong Malaysia kerana saya tidak mahu sebarang insiden tidak baik berlaku dan kerana kami menghormati pasukan dan penyokong Malaysia.
“Saya juga tidak mahu perkara seperti di Indonesia berlaku di mana bas kami diserang oleh penyokong mereka berlaku di sini kerana ini bukanlah budaya bola sepak di Thailand,” katanya.
Bukan sahaja memainkan peranan penting di luar padang tetapi Teerathon juga menjadi enjin utama pasukan Thailand dengan sering mencipta peluang berbahaya dan berjaya membuat bantuan jaringan kepada Teerasil Dangda untuk gol pertama skuad Gajah Perang.
Teerathon juga dilihat bersama-sama pemain Thailand yang lain mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Malaysia dan karektor sebeginilah yang menjadikannya pemain berkelas dunia.