BOLA sepak tempatan menyaksikan satu lagi sejarah baharu dirakam.

Malam tadi, Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan gelaran ‘Double Quadruple’ selepas mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tambah manis, kejayaan memenangi piala berprestij itu buat kali kedua berturut-turut memastikan JDT menamatkan musim dengan menyapu bersih keempat-empat trofi domestik selepas melakukan perkara yang sama musim lalu.

Jurulatih bola sepak berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah yang memantau perkembangan pasukan bertanding musim ini percaya lebih banyak lagi kejayaan bakal dicapai skuad Harimau Selatan itu.

“Setelah 15 tahun rekod ‘Double Treble’ disamakan. Saya tidak terkejut JDT mampu pecah rekod pada 2024.

“JDT adalah contoh kelab pengurusan yang ada visi. More to come. Semua ini adalah jasa TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim),” ujarnya ketika dihubungi.

May be an image of 1 person and text

ARTIKEL BERKAITAN : JDT juara Piala Malaysia 2023, lengkapkan sejarah ‘Double Quadruple’

Azraai yang membimbing Kedah memenangi tiga trofi dalam semusim selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008, sekali gus menerima jolokan double treble.

Beliau juga mencipta rekod paling cemerlang apabila melengkapkan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua tahun.

Sejak zaman kegemilangan itu, muncul Kelantan FA pada 2012 mengulangi kejayaan treble ketika Bojan Hodak membimbing The Red Warriors (TRW).