TAHAP kecergasan pemain Sri Pahang FC perlu digandakan lagi walaupun mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Rabu.

Beberapa pemain Tok Gajah dikeluarkan Dollah Salleh yang tampak begitu keletihan selepas mengharungi aksi penuh bertenaga di Kuantan.

“Keseluruhan saya berpuas hati aksi pemain walaupun masih ada lagi dua, tiga pemain nampak begitu letih.. sebab itu kita buat pertukaran bukan dari segi prestasi tetapi atas keletihan pemain.

“Yang pentingnya 70 minit, 80 minit ke dia (pemain) bermain dengan 100 peratus dan itu yang kita nampak.

“Itu yang kita nak sebenarnya. Bagi habis-habisan sampai minit pemain tak boleh lagi berlari. Itu yang kita buat pertukaran pemain,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Pada perlawanan itu, pelawat jelas menguasai perlawanan sepanjang 30 minit hingga memberikan tekanan kepada Sri Pahang.

Bagaimanapun pengendali berusia 58 tahun itu bersyukur kemarau tanpa kemenangan lima perlawanan diakhiri pada aksi ke-12 Liga Super oleh para pemain.

Dollah juga menyifatkan elemen tuah yang ada untuk pasukan Tok Gajah meranapkan hajat menggunung Selangor yang turut hadir memburu kemenangan.