WALAUPUN kempen musim baharu Liga Malaysia 2023 belum bermula, namun Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat antara pasukan ligat menjalankan gerak kerja membentuk skuad mantap.
Beberapa pemain muda dan ternama direkrut termasuk berjaya membawa masuk bintang tengah Harimau Malaya, Lee Tuck dan tonggak Tajiskitan, Amirbek Juraboev baru-baru ini.
Pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu hantaran di Facebook yang dimuatnaik pada Ahad memaklumkan Sang Kenari bakal mempunyai sayap-sayap baru untuk terbang lincah dan laju pada musim baru.
Menurutnya lagi, sayap-sayap ini juga adalah yang berdata dan bijak.
“Sudah pasti Sang Kenari ingin menjadi pasukan terbaik. Bukan senang nak menjadi ‘the best amongst the best‘. Sang Kenari kena berjuang habis-habisan dengan jiwa, minda & roh.
“Semoga semua penyokong Sang Kenari lebih teruja dan lebih bangga menyokong setiap terbangan Sang Kenari. Suara sokongan serta doa anda semua di sepanjang tahun 2023 adalah pembakar semangat Sang Kenari yang paling ampuh. Kita sama-sama randuk ‘ayaq’ & ‘ragagh’ bukit sampai berjaya,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga enggan menjanjikan bulan dan bintang buat semua pihak. Sebaliknya, Mohd Daud hanya boleh janji satu perkara iaitu The Best Never Rest.
“Kami akan sentiasa berlatih dan berlatih sehingga kami menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.
“Semoga anda, keluarga anda tersayang, seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman dan negara Malaysia tercinta diberkati Ilahi di tahun 2023,” katanya.