PERTAMA sekali tahniah diucapkan kepada pasukan Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menempah tempat ke perlawanan akhir Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023 yang akan menyaksikan juara baharu bakal ditabal pada 13 Ogos nanti.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi luar biasa di atas gelanggang dengan Pahang Rangers berjaya mengenepikan cabaran penyandang juara, Selangor MAC 7-6 menerusi aggregat dalam perlawanan yang cukup dramatik di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.

JDT pula sekali lagi bangkit dari ketinggalan untuk menidakkan kebangkitan Selangor TOT United sebelum menang 15-8 menerusi aggregat dalam satu lagi pertemuan yang menarik di Stadium Tertutup Pasir Gudang pada Ahad.

Para penyokong yang memenuhi setiap venue

Tiga venue yang menjadi gelanggang separuh akhir, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Stadium Sukpa Kuantan dan Stadium Tertutup Pasir Gudang masing-masing penuh dengan penyokong sekaligus membuktikan ‘scene’ futsal yang semakin menggila di negara ini.

Perlawanan yang disajikan juga berkualiti tinggi dengan intensiti yang tinggi serta kehadiran pemain import yang bukan calang-calang menjadikan MPFL 2023 satu pertandingan yang sangat menarik dan menunjukkan potensi.

Namun begitu ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak penganjur kerana mungkin terlepas pandang atau mungkin juga tidak menjangkakan kejohanan futsal ini mendapat perhatian dari ramai peminat.

Tinjauan FLASH SUKAN di kesemua venue mendapati kurang kawalan keselamatan diberikan kepada penonton jika dibandingkan dengan perlawanan bola sepak. Mungkin masih belum ada insiden yang tidak diingini tetapi lebih baik bersiap sedia sebelum ianya terjadi.

Kata pujangga, sudah terhantuk baru tergadah perlu diletakkan jauh-jauh dalam kamus penganjuran kerana keselamatan dan keselesaan adalah faktor utama yang menarik penonton untuk hadir memberikan sokongan.

Dari sudut komersil dan pertandingan pula, sememangnya MPFL mempunyai potensi dan daya tarikan komersil bernilai jutaan ringgit dan kini terpulang kepada pihak penganjur sama ada mahu memperkasakan pertandingan ini atau ianya sekadar diadakan bagi memenuhi jadual dan kalendar pertandingan.

Keadaan venue yang berhawa dingin menambah keselesaan penyokong

Skuad futsal kebangsaan mengalami musim yang muram ketika ini dan untuk mempunyai pasukan kebangsaan yang mantap, MPFL perlu dijadikan lebih kompetitif dengan pelbagai mekanisma pertandingan boleh diperkenalkan bagi memastikan ianya lebih berdaya saing.

Hadiah kemenangan juga seharusnya ditingkatkan dan sudah sampai masa wang hak penyiaran juga dikongsi bersama bagi memastikan pelaburan yang dilakukan kelab-kelab yang bertanding berbaloi dan mendapat pulangan setimpal.

Perubahan ini bukanlah dijangka boleh dilakukan dalam tempoh terdekat tetapi perhatian khusus harus diberikan terhadap pertandingan ini bagi memastikan ianya menjadi satu medan pertandingan dan pendedahan yang kompetitif serta komprehensif buat semua.

Tambah menarik, kesemua venue berhawa dingin dan sesuai untuk tontonan bersama keluarga yang menjadikannya satu lagi daya penarik kepada kejohanan MPFL ini.