PEMAIN sayap Kuala Lumpur (KL) City FC, Sean Giannelli meletakkan sasaran untuk membuka dua lagi cawangan Akademi Villarreal yang berlokasi di ibu kota pada musim 2024 ini.
Sean telah meneruskan legasi mendiang ayahnya, sekali gus mengambil alih jawatan pengurus di Akademi Villarreal sejak tahun 2022 iaitu selepas kematian ayahnya, Massimo Giannelli yang disahkan menghidap penyakit kanser otak.
Pemain berusia 27 tahun ini pastinya memegang amanah tersebut dengan penuh berdedikasi sejurus sedang berusaha untuk meraih lebih banyak perhatian masyarakat mengenai akademi ini.
Setakat ini, Sean mendedahkan seramai 600 pemain bola sepak remaja telah mendaftar di akademinya, dan menanam hasrat untuk mencapai angka 1500 pemain pada musim 2024 ini.
“Disebabkan ‘off season‘ yang lama, jadi ini bagus untuk saya menyelesaikan segala perkara di akademi dahulu dan sekarang keadaan sudah stabil, saya boleh fokus sepenuhnya dengan bola (KL City).
“Akademi juga telah menerima tajaan daripada syarikat Dashing, oleh itu kita akan memberi biasiswa kepada 40 pemain muda terpilih dan mereka tidak perlu membayar sebarang yuran.
“Mengenai sasaran untuk tahun ini, kami ingin membuka dua lagi cawangan akademi kerana lokasi yang sedia ada kini, di Kota Kemuning, agak jauh bagi mereka untuk datang. Jadi sasaran utama adalah di Kuala Lumpur,” kata pemain kelahiran Itali itu.
Dalam perkembangan sama, Sean melahirkan rasa gembira dengan nasib terkini pasukannya, tambahan dengan kehadiran penaung KL City, Fahmi Fadzil yang dianggap mampu menyelesaikan segala permasalahan yang dialami.
Dia juga berharap agar tiada lagi isu yang akan timbul selepas ini, dan pasukan juga dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap perlawanan dan latihan bola sepak musim 2024-2025.