MAMPUKAH Terengganu FC untuk menamatkan kemarau kekalahan dengan ‘mencuri’ gelaran juara dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023?
Segalanya tidak mustahil buat skuad Sang Penyu kerana berbekalkan strategi yang telah dicaturkan oleh ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, sudah tentu mereka akan berhempas pulas untuk menjulang semula trofi sekian hampir 22 tahun tidak menjuarai kejohanan berprestij itu.
Keajaiban yang ingin dilihat oleh rata-rata penyokong Pantai Timur turut diimpikan oleh bekas penyerang Terengganu sendiri, Abdul Manaf Mamat yang berharap agar pemain mampu berikan tentangan yang cukup sengit terhadap JDT.
Menurut Abdul Manaf, berdasarkan perlawanan Piala AFC sebelum ini Terengganu telah tampil dengan aksi yang agak cemerlang dan gandingan pemain dalam perlawanan-perlawanan lain juga sudah membuktikan kemampuan Tomislav untuk membimbing skuad tersebut.
“Saya ada tengok permainan mereka sesebelum ini dan boleh dilihat coach Tomislav punyai percaturan yang baik jadi dia hanya perlu kekalkan perkara itu.
“Insya Allah TFC boleh bagi yang terbaik asalkan mereka fokus dalam padang dan tafsirkan segala perancangan yang telah dibuat oleh coach di atas padang.
“Walaupun kita boleh tengok kelebihan hampir 100 peratus ke arah skuad JDT dan dari segi kemajuan kelab mereka jauh daripada Terengganu, ia tidak boleh dijadikan satu alasan dan saya sebagai anak jati Terengganu nak tengok kemenangan berpihak kepada Terengganu,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Ketika diajukan mengenai pemain JDT yang kira-kira menjadi ancaman utama buat skuad Terengganu, Abdul Manaf telah memetik dua nama pemain yang cukup sensasi.
Arif Aiman Hanapi dan Bergson Da Silva adalah antaranya.
Abdul Manaf juga mengharapkan barisan pemain Terengganu supaya merantai Arif Aiman yang jika dibiarkan pastinya mendatangkan mimpi ngeri buat lawan.
“Bagi saya, Arif Aiman perlu dikawal kerana mampu mengucar-ngacirkan pihak lawan. Dengan tenaga dan umurnya yang muda, dia kelihatan sangat matang walaupun dia berada bersama pemain-pemain senior lain.
“Saya mengharapkan Terengganu dapat bagi sesuatu untuk final. Kemenangan adalah satu bonus, kita harap dapat bawa pulang piala ke pantai Timur kali ini. Penyokong memang akan memeriahkan final ini. Tanpa penyokong, siapalah pemain,” ujarnya.