JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan malam sedekad gemilang dengan bergaya apabila mengesahkan kejuaraan ke-10 berturut-turut Liga Super selepas menewaskan PDRM FC 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT yang turun dengan barisan terbaik mengasak dari awal permainan dan terpaksa berhadapan dengan taktikal parkir bas yang digunakan PDRM FC namun sikap sabar dan tidak putus asa yang dipamerkan anak-anak buah Esteban Solari akhirnya berjaya membuahkan hasil.
Bergson Da Silva yang baru sahaja menjadi pemain pertama JDT menjaringkan 100 gol buat kelab diberi penghargaan sebagai kapten pasukan dan dia membuktikan kepimpinan melalui tauladan apabila membuka tirai jaringan buat Harimau Selatan pada minit ke-37 untuk gol ke-102 peribadinya.
Ketika para penyokong masih bergembira dengan jaringan pembukaan itu, berselang tiga minit, Juan Muniz menambah gol kedua dengan merembat deras hantaran Matt Davies yang bekerja keras masuk ke kotak penalti dari sebelah kiri gawang skuad Sang Saka Biru untuk kedudukan 2-0 hingga tamat babak pertama.
Harimau Selatan mengekalkan tempo permainan pantas pada babak kedua dan gerakan satu dua antara Heberty Fernandes dan Arif Aiman memerangkap barisan pertahanan lawan yang terpaksa menjatuhkan Arif Aiman dan pengadil tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti yang disempurnakan pemain paling bernilai itu untuk kedudukan 3-0.
Solari membuat pertukaran dengan memasukkan Fernando Forestieri yang baru pulih dari kecederaan menggantikan Bergson dan dia hanya memerlukan dua minit untuk kembali mencetak nama sebagai penjaring untuk gol keempat JDT dan juga gol ke-18 nya dalam Liga Super musim ini.
Lebih 12,000 penyokong tuan rumah bergemuruh apabila pemain paling lama berkhidmat dengan JDT, Aidil Zafuan di bawa masuk menggantikan Shane Lowry dan juga sebagai tanda penghargaan menjadi satu-satunya pemain yang memenangi 10 kejuaraan Liga Super bersama JDT sejak 2014.
Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Stadium Sultan Ibrahim bergempita dengan sorakan penyokong yang sama-sama berpesta dengan pemain JDT meraikan kejayaan dominasi sedekad yang gilang gemilang.