SEGALA-GALANYA atas nama Malaysia! Begitulah pengakuan Ng Eain Yow ketika memberikan segala kudrat di final perseorangan lelaki, Sukan Asia Hangzhou.
Dia berhempas pulas menundukkan Saurav Ghosal dari India dalam pertarungan selama 72 minit, 9-11, 11-9, 11-5, 11-7.
Pingat emas dimenanginya itu adalah yang kelima buat kontinjen negara dan emas ketiga dari sukan skuasy, yang turut menyumbang satu perak dan satu gangsa.
“Saya tak fikir sangat apabila masuk ke gelanggang dan saya gembira untuk memenangi pingat emas ini untuk Malaysia.
“Dalam kepala saya hanya berjuang demi Malaysia, setiap bola yang saya kejar, setiap keputusan yang saya buat, adalah demi Malaysia. Saya lega dapat menghadiahkan pingat emas untuk negara, tak ada satupun demi saya,” kata Eain Yow.
Kejayaan diraih Eain Yow itu membolehkan juara Asia itu membalas dendam ke atas Ghosal yang sebelum ini menewaskannya 3-1 pada separuh akhir acara berpasukan lelaki.