PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui segala-galanya tidak menjadi buat pasukannya ketika tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu.

Dia yang ditemui ketika sidang media selepas perlawanan menyatakan skuadnya lambat panas dan bermain terlalu perlahan pada babak pertama dan diatasi dengan mudah oleh semangat pasukan lawan.

Jurulatih asal Singapura itu juga seakan tidak percaya apabila pemain importnya, Stefano Brundo gagal menjaringkan penalti sekali gus melengkapkan hari malang buat skuad Tok Gajah.

Fandi jelas kecewa kerana segala yang dirancang tidak menjadi

“Hari yang malang buat kami. Tahniah buat lawan yang lebih agresif dengan keadaan kami kurang agresif pada babak dengan lambat menghantar bola. Kami cuba menambah kepantasan permainan pada babak kedua tetapi gagal mendapatkan gol walaupun mempunyai beberapa peluang.

“Ini adalah kali pertama Stefano gagal menjaringkan penalti tetapi ini adalah bola sepak dan kami punyai banyak peluang lain dan terus berjuang serta harap akan ada rombakan selepas ini,” katanya.

Fandi juga turut mengakui momentum pasukannya sedikit terjejas ekoran terlalu banyak berehat ekoran jadual yang mempunyai jurang yang besar antara satu permainan dan dia juga bimbang dengan keadaan Sri Pahang yang masih belum menang dalam tiga perlawanan liga.

 

Fandi sifatkan aksi pemainnya kurang agresif.

“Sudah tentu ianya perkara yang sangat membimbangkan untuk kami kerana ianya tidak pernah berlaku tetapi kami perlu fokus dan pemain perlu meningkatkan prestasi serta mengambil tanggunggjawab atas kegagalan ini.

“Bagaimanapun apa yang positif dalam permainan ini adalah kami berjaya beri saingan namun gagal menyudahkan peluang tetapi kami perlu menerima hakikat yang pasukan lawan lebih baik daripada kami,” jelasnya.

Kekalahan kedua berturut-turut ini menyaksikan Sri Pahang jatuh dua posisi ke tangga ke-10 Liga Super dengan empat mata dari empat perlawanan.