SEJAK bila kita pernah melihat skuad kebangsaan bangkit dari ketinggalan dua gol dan memenangi perlawanan pada masa kecederaan? Sejak bila kita menjerit hingga habis suara dan pulang dengan rasa bangga?
Sejak bila kita mampu tersenyum dan masih merasa ‘goosebump’ sehingga keesokan harinya dan sejak bila timbul rasa percaya dalam diri kita sebagai penyokong Harimau Malaya?
Tarikh 16 November 2023 pastinya akan dikenang sampai bila-bila oleh penyokong Malaysia apabila menyaksikan aksi kebangkitan dramatik Harimau Malaya untuk memenangi perlawanan dan mendapat tiga mata dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
15 mata berjaya ditambah dalam ranking dunia Fifa dan sudah pasti akan ada lonjakan dalam ranking dunia ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dibawah pimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin mahu Malaysia mencapai sasaran ranking ke-120 dunia.
Perkara-perkara yang terjadi ini umpama sesuatu yang luar jangka bagi penyokong Malaysia yang sebelum ini sering kecewa dengan persembahan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa namun mimpi buruk itu kini hanya kekal sebagai kenangan silam.
Sejak bila kita mempunyai jurulatih asing yang cukup merendah diri dan tidak mahukan pujian meskipun jelas dia melakukan perubahan taktikal genius yang menyumbang kepada kemenangan ini.
Kim Pan-gon tidak mahu mengambil kredit sebaliknya berkata kejayaan ini adalah hasil usaha para pemain yang tidak mengenal erti putus asa selain dibantu penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.
Sejak bila Harimau Malaya mempunyai barisan serangan yang mampu meledak jaringan demi jaringan dengan corak permainan pantas dan berintensiti tinggi yang mengujakan penyokong dan memperlihatkan harapan untuk memenangi perlawanan.
Ini semua adalah usaha bersama semua pihak yang terlibat dalam senario bola sepak tempatan bermula dari kementerian, persatuan, pengelola liga, pemegang taruh, kelab-kelab bertanding, pengurusan kelab, pemain dan semua penyokong yang sentiasa percaya dengan kemampuan Harimau Malaya.