MILO terus memperkukuhkan kerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas membaharui perjanjian penajaan dengan badan induk sukan negara itu sehingga 2028.
Menerusi kerjasama itu, Milo terus memberikan sokongan kewangan dan sumbangan barangan kepada kontinjen Malaysia yang akan bersaing di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Paralimpik 2024.
Lebih membanggakan, kerjasama Milo dan MOM yang bermula sejak 1956 turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai syarikat korporat paling lama bersama badan induk berkenaan iaitu selama 68 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranol, berkata, Milo komited memainkan peranan penting mencorakkan masa depan sukan Malaysia dan ia dibuktikan dengan kerjasama bersama MOM sejak hampir tujuh dekad lalu.
“Hakikat ini dapat dilihat daripada kerjasama dengan MOM yang semakin luas sejak dimulakan pada 1950-an apabila kontinjen Malaysia menyertai Sukan Olimpik Ke-16 buat julung kalinya.
“Sejak itu, Milo dan MOM telah terus bekerjasama untuk membangunkan dan memupuk nilai-nilai dan bakat sukan negara kita.
“Menerusi kerjasama berterusan dengan OCM serta program sukan akar umbi yang kami laksanakan, kami tetap komited untuk memberi inspirați kepada atlet bertaraf dunia generasi akan datang Malaysia,” katanya, pada majlis perjanjian penajaan Milo bersama MOM pada Isnin.
Setiauhasa Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pegawai Eksekutif Milo, Ng Su Yen menandatangi perjanjian Kerjasama itu sambil disaksikan Aranol dan Timbalan Presiden MOM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran bekas atlet kebangsaan yang pernah beraksi di temasya Olimpik termasuk Annie Chong, Tan Sri Dr M Jegathesan, Datuk Soh Chin Aun, Nurul Huda Abdullah, Datuk Rashid Sidek dan Ng Shu Wai dan Datuk Pandelela Rinong.
Sementara itu, Hamidin mengulas mengenai perjanjian penajaan itu, berkata Milo memainkan peranan penting dengan membuka peluang buat atlet Malaysia mengasah bakat masing-masing dan mewakili Malaysia di peringkat serantau dan global.
“Milo menyokong 16 Kontinjen ke Sukan Olimpik (511 atlet), dua Kontinjen ke Sukan Musim Sejuk Olimpik (4 atlet), 3 Kontinjen ke Sukan Olimpik Belia (53 atlet) dan 2 Kontinjen ke Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk (3 atlet).
“Di samping itu, Milo telah menyokong kontinjen Malaysia ke 17 Sukan Asia (2,775 atlet), 16 Sukan Komanwel (1,345 atlet) dan 32 Sukan SEA (12,391 atlet).
“Kami sukacita untuk meneruskan kerjasama yang penuh bermakna ini dengan Milo demi menyokong kontinjen atlet berbakat Malaysia secara berterusan,” katanya.