PEMBENTANGAN Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim semalam, tentunya menghadirkan reaksi pelbagai, biarpun ia hanya sekadar pembentangan dan belum lagi dari segi pelaksanaan.
Bajet Sukan dalam pembentangan di Dewan Rakyat itu menyaksikan sukan para bakal menerima RM12 juta, dan perkara itu disambut baik Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
“Peruntukan RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa, membolehkan wakil negara untuk beraksi di lebih banyak kejohanan kelak.
“Pendedahan di peringkat antarabangsa sangat penting untuk mempertingkatkan kemampuan atlet para negara. Namun, pembangunan akar umbi juga penting supaya tidak ketandusan bakat baharu,” katanya.
Sementara bagi Penyelaras Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam, bajet besar RM20 juta menjadi isyarat jelas komitmen kerajaan dalam misi perburuan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
“Pengumuman oleh PM ini adalah isyarat jelas sokongan daripada kerajaan kepada persatuan-persatuan sukan dan atlet untuk kami memperjuangkan pingat emas yang dicari.
“Bagi pihak YB Hannah Yeoh dan Jawatankuasa RTG, saya mengucapkan terima kasih kepada PM atas keprihatinan beliau terhadap keperluan badan-badan sukan dan atlet elit kebangsaan.
“Kita kini perlu bekerja secara kolektif dan memastikan kita melakukan yang terbaik untuk negara,” katanya.
Namun, berlainan pula pandangan pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, yang berasakan hala tuju bajet ini, tidak jelas.
“Bajet ini lebih kepada bajet tahunan seperti bajet biasa sahaja yang tidak jelas hala tuju dan tak nampak impaknya kepada negara kecuali yang podium.
“Saya mengharapkan ada kenyataan yang memberikan kelonggaran atau keistimewaan kepada sukan bola sepak atau pasukan yang bertanding dalam liga super, seperti boleh dapat geran perbadanan ini untuk menampung pasukan masing-masing.
“Sebab bola sepak industri sukan yang besar di negara ini yang pulangan dia pun besar. Banyak mana dana kita bagi kepada mereka, mereka akan bagi semula pulangan yang besar kepada industri sukan negara kita.
“Dari pemain, penyokong, cenderamata dan sebagainya. Macam mana negara Korea Selatan buat bantu liga mereka” katanya.