KAPTEN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat meluahkan kekecewaan terhadap keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang agak teruk dan masih belum berada pada tahap terbaik menjelang aksi Piala Malaysia pada Jumaat.

Benar seperti apa yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak sebelum ini mahupun daripada suara penyokong sendiri yang tidak bersetuju agar SNBJ menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia kerana keadaan rumput yang masih belum pulih daripada kerosakan akibat konsert Coldplay yang diadakan pada 22 November baru ini.

Tambahan pula dengan musim tengkujuh yang sedang melanda negara ketika ini, tidak mustahil keadaan padang akan bertambah teruk, banyak becak, mahupun ‘menjadi bendang’ jika tidak diatasi dengan segera oleh pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Jelas ketidakpuasan hati Jordi Amat yang dilontarkan semasa sidang media pra-perlawanan Piala Malaysia 2023 pada Khamis tidak memberi kemarahan buat penyokong malah mereka mungkin bersimpati dengan nasib pemain-pemain yang akan bertarung di pentas akhir pada Jumaat.

“Esok sudah tentu menjaminkan satu perlawanan sengit dan tentangan yang akan diberi oleh Terengganu FC pasti agak hebat namun kita akan terus fokus untuk mendominasi permainan.

“Dan sejujurnya saya tidak gembira dengan situasi padang tetapi tidak mengapa kita tengok sahaja untuk hari esok.

“Ada sebahagian kawasan padang yang masih rosak dan saya baru sedar tentang  itu setelah melihatnya sendiri.

“Tetapi walau apapun, perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai satu alasan juga untuk tidak melakukan yang terbaik pada perlawanan esok. Kita kena lalui juga,” ujarnya.

Sudah pasti tahap keselamatan juga amat penting dan menjadi perhatian sama ada dari pasukan JDT mahupun Terengganu FC, walau keadaan padang ini menjamin sesuatu yang negatif mungkin kepada corak permainan mereka sendiri.