PENYERANG skuad PDRM FC, Bruno Suzuki memasang impian teguh untuk menjaringkan gol keduanya musim ini, pada aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam ini (Rabu).

Menurut awang import dari Jepun itu, keputusan 1-0 di Stadium Perbandaran Selayang adalah harapannya untuk perlawanan malam ini, meskipun tidak menafikan kehebatan skuad JDT yang akan bertandang ke rumahnya.

Dengan persiapan panjang selama hampir tiga minggu untuk bertemu gergasi Merah Biru, ianya turut menambah keyakinan Bruno bahawa rakan sepasukannya berada di prestasi terbaik untuk menewaskan skuad kendalian Hector Bidoglio.

“Sejak habis perlawanan di Kuching awal bulan lalu, kita meneruskan rentak persiapan untuk bertemu dengan musuh seterusnya, JDT. Dalam tempoh persediaan yang lama itu, saya yakin kami semakin bermotivasi.

Bruno Suzuki yakin mampu mengatasi JDT esok.

“Ketua jurulatih, P Maniam turut menegaskan bahawa kita boleh menang ke atas JDT dalam perlawanan Liga Super kerana bermain di ‘home‘. Musim lalu, kami hampir mengikat keputusan seri 1-1 bersama JDT namun tidak berjaya.

“Jadi, semua kebarangkalian boleh terjadi malam ini. Tiba masanya untuk saya bangkit dan cuba jaringkan gol di gawang JDT dan sekurang-kurangnya keputusan satu gol terhasil di laman sendiri,” tegas Bruno kepada FLASH SUKAN.

Dalam perkembangan sama, Bruno turut berkongsi bahawa pasukannya sudah bersiap sedia daripada segala sudut untuk mengatasi ancaman daripada JDT, termasuk kelincahan pemain mereka yang bernafsu untuk mendominasi bola di atas padang.

Sebagai rekod, Bruno Suzuki berhasil menjaringkan gol sulungnya musim ini ketika aksi PDRM FC menentang Perak FC di gelanggang lawan.

Tidak mustahil untuk dia kembali mengeluarkan taringnya dan membolosi gawang JDT pada saingan malam ini.