KASMA Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor memaparkan kelebihannya di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini apabila menyambar kedudukan di tempat pertama pada saat-saat terakhir bagi kategori CP150.

Kejayaannya di pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah menempatkannya di tangga kelapan secara keseluruhan setakat ini.

Musim ini, Kasma kelihatan masih mencari momentumnya pada tiga pusingan pertama dan berjaya dengan nada positif di Litar Terengganu.

“Bagi saya, pusingan kedua dan ketiga adalah perlumbaan yang kurang bernasib baik. Tetapi, saya cuma terus kekal positif dan percaya pada diri sendiri.

“Saya kembali ke pusingan keempat dengan semangat yang lain kerana saya memang ingin mengumpulkan sebanyak mata yang mungkin.

“Pada ketika itu, saya sudah jauh ketinggalan dalam kedudukan keseluruhan berbanding dengan pelumba-pelumba yang lain.”

“Pusingan keempat bagi saya memang sengit kerana laptime semua tidak jauh berbeza. Saya gemari litar yang agak teknikal maka saya telah memulakan perlumbaan pada hari itu dengan fikiran tenang dan dengan rezeki saya selama ini bekerja keras dan juga doa ibu-bapa saya,” katanya tidak sabar untuk berlumba di Jempol kerana sudah bertahun tidak berlumba di sana.

Pada musim lepas, Kasma menduduki tempat kelima secara keseluruhan.