TERIMA kasih kepada 14,731 penyokong sejati Harimau Malaya yang berhempas pulas untuk hadir memberi sokongan padu terhadap pasukan kebangsaan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung s antara Malaysia dan Chinese Taipei pada Selasa.
Pertembungan yang penuh sengit dan rancak di Stadium Nasional Bukit Jalil telah dipamerkan oleh para pemain dari awal minit permainan hingga wiset penamat dibunyikan, sekali gus memberi hasil kemenangan 3-1 yang cukup bermakna buat Malaysia walaupun gagal melangkah ke pusingan seterusnya.
Tidak dinafikan, bermain di gelanggang sendiri menjadi kelebihan buat wira-wira Harimau Malaya, kerana adanya sokongan dan bantuan daripada pemain ke-12 yang dianggap sama-sama bermain hingga tamat perlawanan, sekali gus memberikan hasil daripada titik peluh yang dikeluarkan.
Siapalah skuad Harimau Malaya, tanpa ekor Harimau sejati yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada anak buah pengendali Malaysia, Kim Pan Gon. Sentiasa menelan kepahitan dan kemanisan bersama-sama dengan pemain, akur dengan keputusan kalah atau menang.
FLASH SUKAN sangat terharu melihat semangat patriotik yang ditonjolkan oleh segenap penyokong Harimau Malaya. Malaysia bertuah kerana memiliki penonton sebegini, dan tidak hairan negara lain menjadi gerun dan teruja melihat semangat juang yang tinggi oleh para peminat bola sepak tanah air kita.
Jadi, ayuh kita terus beri sokongan dan jangan berhenti untuk melaungkan kata positif buat hero-hero yang beraksi di atas padang, bertungkus lumus demi negara tercinta, Malaysia.