BEKAS pengendali dan Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Selatan bagi menggantikan Esteban Solari yang tidak lagi bersama juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

Hector yang menggantikan Benjamin Mora ketika pertengahan musim 2022 berjaya membawa tiga kejuaraan buat JDT musim lalu iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal dan juga Perunding pasukan utama.

Perkara ini diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menerusi satu hantaran yang dimuatnaik oleh laman sosial rasmi kelab pada Jumaat sekaligus menutup desas-desus yang mengatakan Tan Cheng Hoe bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Solari.

Harimau Selatan turut mengumumkan pemain senior mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai salah seorang yang akan menyertai barisan kejurulatihan Hector selepas dia mengumumkan tidak lagi bersama JDT sebagai pemain.

“Hector Bidoglio, yang sebelum ni menjadi pengarah teknikal kelab dan perunding pasukan utama, akan kembali sebagai Ketua Jurulatih Harimau Selatan.

“Beliau akan dibantu oleh Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas, dan penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan dan perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan. Aidil Zafuan Abd Radzak juga akan menyertai barisan kejurulatihan Hector.

“Hector pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai-November 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT. Beliau telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas.

“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador. Beliau juga pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis, dan telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009,” menurut kenyataan itu.

Pengendali Venezuela itu kini akan memulakan persiapan untuk menghadapi kempen pra musim di Sepanyol dan Portugal sebelum mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-25 yang bermula pada Mei dan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 yang dijadualkan pada Ogos.