TAHUN 2022 bakal berakhir, dengan dunia sukan ditempuhi pelbagai ranjaunya, bagai bertatih kembali selepas pandemik Covid19 beralih ke fasa endemik yang tidak tahu sampai bila akan berakhir.

Begitupun, pada penghujung 2022 juga, lembaran baru bermula buat wanita berusia 43 tahun, Hannah Yeoh apabila ahli parlimen kelahiran Subang Jaya ini apabila dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, dalam kabinet yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Peralihan tampuk politik tanah air ini, sama ada dialu-alukan atau tidak, individu yang diberi tanggungjawab tetap perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin, apatah lagi portfolio Belia dan Sukan.

Hannah ketika menghadiri program badan sukan kebangsaan.

Hannah dalam satu ‘posting’ di akaun Facebook peribadinya, merumuskan apa yang dilaluinya adalah satu tanggungjawab… bukan tanggungjawab solo, bukan pentas nyanyian untuk bermegah-megah dan bukan medan mendapatkan pengiktirafan diri sendiri

“Hampir sebulan saya dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Daripada penglibatan saya baru-baru ini dengan pelbagai pihak berkepentingan, terbukti bahawa sukan bukanlah pertunjukan satu orang.

“Apabila atlet atau pasukan menang di pentas terbesar, sementara kegemilangan saat itu dicurahkan kepada pemenang, pencapaian itu menandakan banyak perkara yang betul berlaku di negara yang membolehkan kejayaan itu. Atlet, jurulatih, pengurus, persatuan sukan, dasar dan perundangan, korporat, keluarga, sekolah, komuniti dan media bekerjasama dan menghasilkan atlet dan/atau pasukan bertaraf dunia,” kata Hannah di dinding Facebook miliknya.

Tulisan Hannah Yeoh sempena penutup 2022 dan mengalu-alukan tahun 2023.

Katanya, apa yang berlaku membuktikan Negara Berkerja. “Saya melihat api dalam diri atlet, keazaman tanpa mengira sukan.”

Tulis Hannah, para atlet mempunyai semangat membara dalam diri, negara ini amat dahagakan zaman keemasan dan untuk mencapainya, seluruh rakyak perlu bangkit untuk menggenggam apa yang harus menjadi milik sendiri, segala-galanya itu dilihatnya hasil pertemuan dengan para atlet serta pegawai.

Esok, hari pertama 2023, Hannah berkata, rakyat Malaysia mahukan pingat emas Olimpik 2024 di Paris sebagai kemestian.

“Ia akan menjadi pingat emas pertama kami dan percubaan untuk memenanginya akan dapat melahirkan wira baru negara, menginspirasi generasi juara, memartabatkan sukan ke semua peringkat.

“’Road to Gold’ bukan hanya tentang membawa pulang pingat dari Paris 2024. Ia adalah mengenai mencipta ‘template’ mengenai cara kami melabur dalam atlet kami, cara kami membuat mengambil kira setiap pertandingan, bagaimana kami boleh memupuk ekosistem sukan secara mampan, bagaimana kami kumpulkan data di peringkat akar umbi, cara kami boleh membantu atlet kami mendapatkan peminat, dan cara meningkatkan ukuran pembangunan dan kejayaan sukan kami.”

Justeru, Hannah berharap seagala usaha mendapatkan pingat emas pertama Sukan Olimpik tercapai dan sentiasa menjadi pemangkin meningkatkan kualiti anak muda Malaysia.