OLIMPIAN sukan terjun negara, Wendy Ng mengumumkan persaraan, selepas dua dekad menabur bakti kepada negara.
Pemilik nama sebenar Ng Yan Yee, 31, mengumumkan persaraannya itu menerusi media sosial Instagram miliknya “ngyanyee93” dalam satu rakaman video, semalam.
Menurut Wendy, keputusan diambilnya itu tidak mudah namun dia berasakan inilah masa yang sesuai untuk dia mengundurkan diri dan memulakan fasa baharu dalam kehidupannya.
“Dengan hati yang penuh kesyukuran, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam renang yang menjadi tempat dan pentas saya untuk detik-detik yang tidak dapat dilupakan.
“Dari kejayaan (beraksi di) Olimpik kepada menghargai setiap kemenangan, didorong oleh dedikasi dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Persaraan ini menandakan permulaan lembaran baharu. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini. Inilah permulaan baharu yang dipandu oleh keberanian dan didorong dengan semangat,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Sepanjang bergelar atlet terjun kebangsaan, Wendy meraih pelbagai kejayaan membanggakan termasuk memenangi empat pingat perak Sukan Asia dan satu pingat perak di Sukan Komanwel.
Wendy juga berjaya memenangi tujuh pingat emas serta tiga perak sepanjang penyertaannya dalam temasya Sukan Sea.
Dia juga tiga kali beraksi di Sukan Olimpik tiga bermula pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio dan terakhir di Tokyo pada 2021.
Pingat terakhir disumbangkan Wendy kepada negara, ketika meraih perak di Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama bersama Nur Dhabitah Sabri.
Selain itu, Wendy juga pernah menyumbang tiga lagi pingat perak di Sukan Asia 2018, 2014 dan 2010, semuanya dalam terjun 3m seirama papan anjal.