PASUKAN Selangor FC meneruskan pramusim mereka dengan menganjurkan kejohanan pramusim, Selangor Asia Challenge (SAC) 2024.

Kejohanan pramusim ini menampilkan pasukan Selangor FC sebagai tuan rumah dan akan berhadapan dengan tiga lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Balestier Khalsa FC dari Singapura, Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dari Brunei and Young Elephants FC dari Laos.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata SAC 2024 akan memberi tujuan yang sama kepada semua pasukan yang bertanding khususnya Selangor FC iaitu memberi pendedahan bermain dengan kelab dari negara ASEAN lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon

“Selangor FC sangat teruja kerana dapat menjadi tuan rumah kejohanan Cabaran Asia Selangor edisi kedua.

“Pihak pengurusan cuba memberi pendedahan luas kepada pasukan agar dapat melakukan persiapan pramusim dengan baik pada musim ini.

“Kami telah menjemput pasukan dari negara ASEAN iaitu Balestier Khalsa FC, Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dan Young Elephants FC, tiga pasukan yang mempunyai pencapaian yang baik musim lalu,” katanya dalam kenyataan media.

Balestier Khalsa FC antara pasukan yang terlibat dalam SAC 2024. (Sumber Gambar: SPL)

“Selain itu, ini adalah peluang untuk penyokong menyaksikan pasukan bermain dalam perlawanan pramusim yang kompetitif dan berkualiti,” tambahnya lagi.

Format perlawanan yang digunakan untuk kejohanan ini akan sedikit berbeza daripada edisi sebelumnya, di mana setiap kemenangan akan memperoleh tiga mata, manakala pasukan akan memperoleh mata tambahan untuk setiap gol yang dijaringkan. Pasukan yang mendahului jadual kumpulan pada akhirnya akan dinobatkan sebagai juara kejohanan.

Semua perlawanan akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada jam 5 petang dan 9 malam pada 26 April dan 28 April 2024.