STADIUM Shah Alam yang akan dijenamakan sebagai Kompleks Sukan Shah Alam bakal menjadi stadium tercanggih di Malaysia.

Menelan kos perbelanjaan bernilai RM787 juta dan dijangka disiapkan dalam tempoh tiga tahun lagi ia juga akan menjadi mercu tanda baharu skuad Red Giants yang akan dijadikan venue tetap pasukan itu.

Stadium Shah Alam bakal dilengkapi teknologi tinggi apabila permukaan padangnya boleh diubah seperti mana yang terdapat di Alabama, Amerika Syarikat.

Malah, venue berkenaan turut menggunakan kawalan kelembapan dalaman atau ‘ETFE ceramic coating’ dan sistem penyejukan tempat duduk seperti stadium-stadium Piala Dunia di Qatar.

Lakaran stadium yang akan dibina dan dijangka siap pada 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ‘rumah’ baharu serba moden itu dijangka akan siap pada 2026 dan kemungkinan bakal menggunakan stadium itu pada 2027.

“Berdasarkan perbincangan antara Kerajaan Negeri Selangor dan pemaju, MRCB sebelum ini, stadium bernilai RM787 juta boleh disiapkan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya difahamkan RMS sendiri mahu mengekalkan reka bentuk yang lama kerana ia mempunyai sejarah tersendiri dan begitu ikonik.

“Jika terdapat perubahan sekalipun, ia mungkin tidak jauh beza dengan sebelum ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Selangor dan MRCB menjangkakan ia akan siap pada 2026, dan mungkin boleh digunakan pada 2027.

“Kita tahu MRCB antara pemaju terbaik di negara ini jadi kita yakin dengan reputasi mereka,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Johon turut memaklumkan dua jenis rumput bakal digunakan bagi stadium berkenaan.

“Buat masa ini masih awal lagi untuk tentukan rumput yang akan digunakan di stadium itu tetapi dua jenis rumput yang mungkin dipertimbangkan adalah Paspalum dan Zeon Zoysia,” katanya.