SELANGOR FC kembali menemui rentak sebenar apabila ‘kenduri gol’ menewaskan Kuching City FC 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak.

Selangor FC bermula garang apabila pemain import Myanmar, Hein Htet Aung bijak membuat hantaran lintang kepada Noor Al-Rawabdeh untuk mudah menolak masuk pada minit ke-4 bagi meraikan Gergasi Merah mendahului 1-0 di hadapan.

Tersentak dengan gol tersebut, Kapten Pasukan Kuching City FC, Muhammad Adam Shreen Tambi melakukan rembatan volley deras pada minit ke-6 namun tiang gol menjadi penyelamat kubu Selangor.

Dua minit berselang,  gerakan Brendan Gan melorongkan bola kepada Ayron Del Valle pada minit ke-8 menyaksikan penyerang import Colombia itu mudah merembat kencang untuk gol kedua pelawat.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat Gergasi Merah apabila Mohamad Faisal Abdul Halim melakukan larian deras sambil membuat percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-20 namun sedikit tersasar melewati palang gol.

Pelawat sekali lagi memiliki peluang keemasan menerusi pemain lincah, Hein Htet Aung namun rembatannya berjaya ditampan penjaga gol Kuching City FC, Nor Azlan Razali.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor FC hanya memerlukan tiga minit untuk terus menghukum kealpaan pertahanan lawan dengan gol ketiga pelawat menerusi Noor Al- Rawabdeh yang cemerlang menjaringkan gol kedua dalam aksi menentang Kuching City.

Mohamad Faisal Abdul Halim sekali lagi menjadi tonggak penting dengan meletakkan bola tepat ke kaki Brendan Gan untuk gol keempat Selangor FC.

Ahmad Zikri Khalili sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada skuad The Cats apabila melorongkan bola cantik melepaskan untuk dummy yang dilakukan Mukhairi Ajmal Mahadi sebelum Danial Asri mudah menolak masuk untuk gol kelima Selangor FC pada minit ke- 73.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor FC kenduri gol di Stadium Negeri Sarawak dengan kemenangan 5-0 dan berada di kedudukan kedua Liga Super dengan enam mata hanya dibezakan dengan jumlah jaringan gol di belakang pendahulu, Sabah FC.