SELANGOR FC berjaya membuktikan pasukan mereka adalah Raja Lembah Klang apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Gergasi Merah berjaya mengekalkan konsistensi kemenangan selepas meraih kemenangan dalam Piala Malaysia hujung minggu lalu menerusi jaringan daripada Harith Haiqal dan Mukhairi Ajmal sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.
Aksi rancak yang diharapkan dari Derbi Lembah Klang ini nyata tidak menjadi kenyataan apabila kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati dan tidak banyak peluang berbahaya dapat dicipta.
LIGA SUPER 2023
FT: Selangor FC 2-0 Kuala Lumpur City FC
⚽ Harith Haiqal 32', Mukhairi Ajmal 75'
More pictures at: https://t.co/lYH0Rn4Pjt#LigaSuper2023#MKLK#sampaimatikualalumpur pic.twitter.com/tPlUDuIQqe
— Flash Sukan (@FlashSukan) August 8, 2023
Situasi bola mati akhirnya membantu anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-32 menerusi Harith Haiqal yang pantas menguis masuk bola lantunan tandukan Ayron Del Valle yang diselamatkan Kevin Ray Mendoza.
KL City dibawah kendalian Nenad Bacina buat pertama kali mempertaruhkan Tchetche Kipre dan T. Saravanan sebagai penyerang bagi meneruskan rentak dua kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Mukhairi Ajmal memadam sisa perjuangan KL City apabila berjaya menjaringkan gol kedua ketika perlawanan berbaki 15 minit meskipun dilihat sedikit sukar bermain di posisi yang ditinggalkan Faisal Halim di sebelah sayap kanan.
Kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat walaupun KL City melancarkan beberapa gerakan yang mampu mengancam gawang Selangor namun dihampakan kekebalan benteng yang diketuai Safuwan Baharudin.
Kemenangan ini memberikan Selangor tambahan tiga mata kepada 43 mata selepas 20 perlawanan manakala KL City pula turun ke tangga ketujuh kekal dengan 28 mata selepas 19 perlawanan.