SELANGOR FC diberi peluang sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari, untuk mengemukan rayuan berkenaan hukuman yang dikenakan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia susulan kes tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih Mei lalu.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang ditemui pada Rabu, dan menyatakan terdapat peluang kedua yang diberikan buat skuad Gergasi Merah tersebut.

Walau bagaimanapun, Stuart menjelaskan bahawa segala permohonan rayuan perlu dijelaskan sekurang-kurangnya dalam tempoh empat hari, dan ianya perlu diteliti oleh pihak badan rayuan sebelum memutuskan sebarang keputusan.

”Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat, jikalau daripada empat perkara tersebut perlu kepada satu atau dua perkara dipertimbangkan semula, maka boleh diambil daripada badan rayuan.

Kenyataan Selangor FC yang dimuat naik pada Selasa.

“Pasukan Selangor mempunyai akses untuk membuat rayuan, jadi dia boleh mengeluarkan surat rayuan. Mereka perlu melalui Perundangan Bola Sepak dahulu, sebelum di bawa keluar mengenai kes ini.

“Prosesnya, pasukan Selangor mempunyai tiga atau empat hari untuk mengemukan surat rayuan dan selepas itu, badan tertentu akan meneliti dokumen yang relevan dan akan bersidang mungkin dua hingga empat minggu,” kata beliau yang ditemui di Putrajaya, pada Rabu.

Terdahulu, MFL telah menyatakan empat hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC, termasuklah larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ke-14 liga, selain denda berupa wang dan pemotongan mata.

Selangor FC kini berada di tangga kedua Liga Super 2024/2025 dengan mengutip sembilan mata, dan bakal jatuh ke tempat keempat liga dengan enam mata setelah hukuman pemotongan mata ini diambil kira.