KEHILANGAN B. Sathianathan amat dirasaikan bola sepak Selangor kerana mendiang banyak melakukan perkara yang baik untuk meningkatkan mutu bola sepak juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon memberitahu bahawa suasana sedih menyelubungi kem Selangor FC selepas berita kematian Sathianathan pada Selasa.

Bekas jurulatih pelbagai kelab dan skuad kebangsaan itu meninggal dunia selepas setahun ‘berjuang’ menghadapi kanser yang dihadapinya.

Sebagai tanda penghargaan mendiang sepanjang bersama Selangor sebelum ini, Johan menjelaskan bahawa aksi Liga Super bertemu Sabah FC pada Ahad khas untuk Sathianathan.

“Sudah tentu kami  bermain untuk mendiang Ahad ini dan akan lakukan yang terbaik untuknya apabila berdepan Sabah. Ini adalah berita yang menyedihkan buat kami semua kerana dia telah lakukan banyak perkara buat bola sepak Selangor dan kami  semua akan merindui mendiang.

“‘Dia bersama kami selama dua tahun dan memainkan peranan yang penting di kelab bersama pemain, pengurusan dan kakitangan dan kami mempunyai perhubungan yang baik dengannya,” katanya ketika ditemui di majlis penghormatan terakhir di kediaman mendiang pada Rabu.

Johan juga berharap semua penyokong dapat terus mengenang jasa mendiang dan berharap keluarganya cekal menghadapi saat sukar yang melanda ini.

“Kami sememangnya sedih dan berharap keluarganya kekal tabah menghadapi detik sukar ini dan kita semua para penyokong juga harus mengingati memori dan penglibatan dia dalam bola sepak Malaysia,” jelasnya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Bekas Setiausaha Agung FAS ketika Sathianathan menjadi jurulatih Selangor pada 2019 itu turut berkongsi peribadi mendiang yang baik dan bertanggungjawab hingga menjadikan kehilangannya sebagai sesuatu yang dirindui.

“Mendiang adalah seorang yang tegas dan sentiasa mahukan yang terbaik buat pemain dan kelab namun begitu dia adalah seorang yang penuh dengan kasih sayang dan dia juga adalah seorang yang baik, bertanggungjawab dan mempunyai tokoh kebapaan kepada para pemain.

“Dia juga sentiasa meletakkan pemain terdahulu berbanding dirinya dan kebaikan serta keikhlasan inilah yang akan kami rindui.”