KELAB Selangor FC mengambil maklum keputusan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) yang membuat pertimbangan semula keputusan hukuman yang dikenakan pada 24 Jun 2024.
Menerusi satu kenyataan kelab yang dikeluarkan, Selangor FC tetap akan memfailkan rayuan kerana mereka masih. belum melakukan rayuan berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan.
“Selangor FC mengambil maklum berkenaan pertimbangan semula keputusan yang telah dibuat hari ini oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berkenaan ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.
“Untuk makluman, Selangor FC masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL. Pihak kelab akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL berlandaskan peraturan-peraturan yang berkaitan,” tulis kenyataan kelab itu.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata terdapat beberapa proses yang perlu dilihat serta dianalisa dan sekiranya gagal, pihak kelab akan terus merayu dan tidak akan berhenti.
“Terdapat beberapa proses dalam perkara ini dan perlu melihat dan menganalisa berdasarkan statut atau undang-undang yang digunapakai MFL. Kami akan sentiasa menganalisa dan melihat kepada semua bahagian untuk langkah seterusnya.
“Kami akan membuat rayuan demi rayuan dan sekiranya tidak diterima, kami akan gunakan tahap seterusnya seperti Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana kami tidak akan berhenti dan terus berjuang,” katanya.
MFL telah melakukan U-Turn dengan mengurangkan denda kepada Selangor FC dari RM100,000 ke RM60,000 serta membatalkan potongan tiga mata dan beraksi tanpa penyokong namun hukuman denda komersil masih dikekalkan.