MISI Selangor FC untuk mencabar kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia musim hadapan mendapat tonik tambahan apabila Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan akan memperuntukkan RM10 juta kepada kelab itu.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2024 pada Jumaat yang menyaksikan agenda ini diletakkan dalam item 1.7 – Pembangunan Sukan, Anak Muda dan RiDE.

Menerusi hantaran di laman sosial X peribadinya, Aminuddin menerangkan tiga fasal berkaitan insipirasi kerajaan negeri untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad Merah Kuning dalam senario bola sepak tanah air termasuk muncul juara Sukma 2025.

“Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Merah Kuning dalam sukan bola sepak dan arena sukan tanah air.

“Untuk merealisasikan impian tersebut, Kerajaan Negeri akan menyokong penuh kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS dan SFC serta Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pasukan SFC dan RM8 juta bagi MSNS. Ini adalah sebagai titik tolak misi menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Kejohanan SUKMA menjelang tahun 2025,” tulis hantaran itu.

Suntikan dana ini sudah pasti akan menjadi semangat tambahan buat Selangor FC dan sudah boleh memulakan perancangan untuk membentuk skuad yang lebih ampuh musim hadapan dan juga menaik taraf fasiliti agar bersesuaian dengan kehendak bola sepak moden.

Bagaimanapun, isu perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam tidak dibentangkan dan nasib stadium itu masih belum diketahui.