SELANGOR FC telah membuat laporan polis berhubung bas yang membawa pemain dan pengurusan telah diserang sekumpulan penyokong Terengganu ketika dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.
Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, kejadian tersebut juga telah dimaklumkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kerosakan telah berlaku terhadap bas yang membawa pemain juga dan pegawai pasukan.
“Insiden ini berlaku ketika bas yang membawa pemain dan penyokong Selangor FC memghampiri sekumpulan penyokong Terengganu FC.
“Lontaran batu bata bertali arus dari kedua-dua belah jalan, suasana cemas dilalui dalam bas pegawai dan pemain ketika itu.
“Terdapat satu bata yang dilontar sekumpulan penyokong Terengganu FC telah menembusi cermin disebelah tempat duduk pegawai namun tiada kecederaan yang menimpa.
“Kesan serpihan kaca telah menimpa beberapa pegawai yang duduk berdekatan cermin tersebut,” katanya yang bersyukur tiada kecederaan mahupun kejadian tidak diingini berlaku.
Insiden ini berlaku dipercayai susulan kegagalan Terengganu FC melangkah ke pentas final selepas tewas 1-2 secara agregat kepada Selangor.
Walaupun menang 1-0 pada aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu namun kekalahan 0-2 ketika bertandang di tempat lawan pada aksi pertama menafikan impian mereka beraksi di pentas final pada 26 September ini menentang JDT.