KEPUTUSAN terbaharu daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengenakan hukuman terhadap Selangor FC menimbulkan persoalan tentang keadilan tindakan tersebut.
Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan MFL yang dianggap tidak wajar.
Menurutnya, Selangor FC hanya memohon untuk menunda perlawanan mereka, namun permintaan tersebut ditolak oleh MFL.
“Apa yang lebih mengecewakan, Sultan Selangor sendiri tidak memberi kebenaran untuk pasukan Selangor bertandang ke lokasi perlawanan yang dijadualkan. Ini menimbulkan persoalan, adakah MFL telah mengabaikan arahan dari Sultan Selangor? ,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Mohd Faizal menekankan bahawa hukuman yang dikenakan adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi ketika Selangor FC sedang berada pada tahap prestasi terbaik mereka.
Katanya lagi, kehadiran penyokong yang memenuhi setiap perlawanan di laman sendiri menunjukkan sokongan padu yang diterima oleh pasukan ini.
“Dalam situasi sebegini, hukuman denda RM100,000 sebagai ganti rugi, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton, terutamanya perlawanan yang dinanti-nantikan antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT), dirasakan kejam.
“Keputusan untuk tidak menghadiri perlawanan telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor. Oleh itu, tindakan MFL yang tetap mengenakan hukuman seolah-olah menunjukkan ketidakpatuhan kepada arahan Sultan Selangor,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, penyokong sejati Gergasi Merah pasti merasa kecewa dengan keputusan ini.
Perlawanan antara Selangor dan JDT adalah salah satu perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh penyokong Selangor dan juga seluruh rakyat Malaysia.
“Keputusan untuk mengadakan perlawanan tersebut tanpa kehadiran penyokong adalah satu tamparan hebat kepada peminat bola sepak tanah air,” katanya kesal.
ARTIKEL BERKAITAN : MFL denda Selangor FC RM100,000 , lawan JDT di MBPJ tanpa penyokong
Justeru itu, hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC telah menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan mengenai keadilan tindakan tersebut.
Adakah MFL telah membuat keputusan yang tepat dengan mengenakan hukuman yang berat ini, atau adakah mereka sepatutnya mempertimbangkan situasi khusus yang dihadapi oleh Selangor FC?
Jawapan kepada persoalan ini masih menjadi tanda tanya di kalangan penyokong bola sepak Malaysia.