SELANGOR FC sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika mengesahkan perkara itu berkata, rayuan mengenainya telah dihantar pada Sabtu.

“Kami sudah mengemukakan rayuan semalam (Sabtu)… selepas MFL mengumumkan keputusan mereka, kita membuat semakan dan meminda perkara yang sesuai sebelum memfailkan semua rayuan,” kata Johan, yang enggan berkongsi perincian rayuan yang dikemukakan kepada MFL itu.

CEO Selangor FC mengesahkan kelab itu mengemukakan rayuan kepada MFL, semalam.

Beliau ditemui ketika mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat Kompleks 3k, di Seksyen 13, Subang Jaya, pagi Ahad.

Pada 25 Jun lalu, MFL menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah, mengumumkan The Red Giants didenda  RM100,000, selain tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL, pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 serta beraksi menentang JDT tanpa kehadiran penyokong pada perlawanan minggu ke-14 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selangor FC tetap menghantar rayuan selepas MFL mengurangkan hukuman.

Hukuman itu dikenakan berikutan Selangor FC tidak menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) 10 Mei lalu.

Selepas itu, tiga hari lalu Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pengurangan hukuman, setelah Sultan selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah murka terhadap keputusan MFL yang dianggal zalim, tidak bertanggungjawab dan dibuat tanpa ihsan.

Pengurangan hukuman membabitkan jumlah denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, membenarkan kehadiran penonton pada perlawanan Liga Super ke-14 menentang JDT dn membatalkan pemotongan tiga mata.

Namun, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL tetap dikenakan selain membuka peluang untuk Selangor FC mengemukakan rayuan.