SELANGOR FC berhajat untuk menggunakan khidmat Mohamad Faisal Abdul Halim dalam jangka masa yang panjang lagi dan akan melanjutkan kontrak pemain sayap itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),  Dr Johan Kamal Hamidon turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang berbincang lebih lanjut dengan Faisal Halim mengenai kontraknya bersama Selangor FC.

Namun, Dr Johan masih belum dapat mengesahkan tempoh lanjutan kontrak yang mungkin dibuat dan berharap agar Faisal kekal selama yang boleh bersama skuad Gergasi Merah.

“Faisal masih bergelar pemain Selangor dan dia sedang fokus lagi komited untuk menghabiskan musim ini dengan baik. Sekarang ini, kita sedang berbincang mengenai kontrak.

“Dalam kontrak dia ada beberapa klausa tertentu yang tidak boleh didedahkan tetapi kami sedang berbincang untuk melanjutkan kontrak Mickey kerana dia adalah pemain penting buat Selangor.

“Jadi sudah pasti kita mahu simpan pemain terbaik di Selangor dan kalau boleh nak simpan dia selama yang mungkin. Kami gembira dengan Mickey dan dia pun gembira dekat Selangor, jadi kami harap boleh lanjutkan,” katanya.

Dr Johan menyatakan hal demikian apabila selesai menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan syarikat teknologi Citadel Group Technologies pada Jumaat yang disaksikan sendiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan Faisal bakal berhijrah ke pasukan lain untuk musim hadapan.

Pemain yang berusia 25 tahun itu telah antara tunggak utama Selangor FC kerana membantu skuad ‘The Red Giants’ berada di kedudukan kedua Liga Super yang yang masih berbaki tiga perlawanan musim ini.

Untuk rekod, Faisal kini berjaya meraih 11 gol dalam 24 perlawanan Liga Super sejurus melayakkan dia berada dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kategori Penyerang Terbaik bersama-sama dengan Arif Aiman Hanapi, Wan Zack Haikal Wan Noor dan lain lagi.