SELANGOR FC memberi jaminan akan menjaga kebajikan pemain sayapnya, Faisal Halim sehingga kontraknya bersama kelab itu tamat pada 2027 meskipun masih belum mengetahui sama ada dia mampu bermain semula atau tidak.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menjelaskan sebagai kelab profesional, ini sudah menjadi tanggungjawab bagi mereka untuk memastikan kebajikan Faisal terjamin sehingga dia dapat kembali beraksi semula.
Faisal atau mesra disapa Mickey sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei 2024 yang menggemparkan seluruh negara dan dia tampil di hadapan media buat kali pertama dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis.
“Kontrak Faisal bersama pasukan hingga 2027. Sebagai kelab profesional, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain-pemain termasuk Mickey.
“Pihak kelab akan terus memberi sokongan kepada Faisal secara mental dan fizikal selain aspek kewangan sehingga dia dapat kembali beraksi semula. Dengan semangat yang dapat dipamerkan oleh Mickey, InshaAllah dia akan kembali,” katanya.
Dalam sidang media yang sama juga menerusi peguam yang dilantik Selangor FC, menjelaskan mereka akan menulis surat kepada pihak polis bagi memohon perkembangan kes yang sedang dalam tempoh siasatan.
Peguam, Mohd Haijan Omar menjelaskan Faisal tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kes itu sejak lebih sebulan namun dia percaya dengan kredibiliti dan profesionalisme yang ada pada pihak polis.
“Kami akan menulis secara rasmi kepada pihak polis untuk mendapatkan perkembangan terkini kes ini dan pihak polis mempunyai dua minggu untuk memaklumkan kepada kami sama ada diberitahu kepada umum atau tidak belum diputuskan tetapi kami akan lakukan apa yang perlu,” jelasnya.