THAILAND, Vietnam dan Kemboja antara beberapa destinasi yang bakal dikunjungi Selangor FC untuk aksi persahabatan pasukan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menjelaskan siri jelajah perlawanan persahabatan ini akan diadakan pada minggu pertama Februari.

“Pihak pengurusan telah mengenalpasti tiga negara ini untuk dijadikan medan pemanas badan pasukan sebelum saingan musim 2023 yang dijadualkan bermula hujung bulan Februari.

“Ketika ini ada beberapa pemain yang menyertai Harimau Malaya masih diberikan pelepasan dan belum menjalani latihan bersama pasukan.

“Siri jelajah ini amat penting untuk mencari keserasian pasukan dan juga mengenalpasti kelemahan sebelum saingan sebenar bermula,” katanya.

Ditanya perkembangan pemain import baharu, Cheng Hoe menjelaskan pihaknya masih belum membuat keputusan walaupun ada beberapa nama dikaitkan dengan pasukan.

Ketika ini Gergasi Merah Kuning hanya membawa masuk pemain tengah import pasukan kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan telah melepaskan Herlison Caion yang menyertai Kuala Lumpur City FC.

Musim 2023 dianggap masa yang tepat buat bekas pengendali kebangsaan ini untuk melonjakkan kegemilangan Selangor FC yang dilihat semakin mempamerkan peningkatan permainan khususnya dipenghujung musim lalu apabila berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia.