SELANGOR FC melakar sejarah dengan menjadi pasukan bola sepak pertama di Malaysia yang mempunyai pasukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang akan bertanding di Mobile Legends Professional League (MPL).

Raja Muda Selangor merangkap Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengucapkan selamat datang kepada semua pemain yang terpilih.

“Kami ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain-pemain Mobile Legends ini sebagai keluarga baru Gergasi Merah dan selamat maju jaya buat mereka yang akan mewakili Yoodo Red Giants selain menjadi teladan atau contoh yang baik kepada rakan-rakan mereka serta para peminat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SFC, Aladdin Mostafa mengakui kerjasama ini merupakan lembaran baharu buat SFC sebagai sebuah kelab bola sepak dan percaya kedua-dua pihak akan menerima impak positif.

“Kami di Selangor FC sangat teruja dengan pengumuman ini. Siapa jangka pasukan bola sepak boleh tubuhkan pasukan e-sukan Mobile Legends tersendiri? Kami sudah ada pasukan e-sukan untuk Fifa dan kami dengan besar hati ingin menembus pasaran Mobile Legends kerana kami tahu industri ini juga mempunyai peluang dan pengikut yang tersendiri. Kami akan memberikan sokongan yang setaraf dengan atlet-atlet kami yang lain,” ujarnya.

Turut hadir adalah Exco Sukan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin  Othman, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia, Fikri Rizal Mahruddin, serta Pengarah Urusan Protech, Datuk Ronnie Chong.