PENGURUSAN Selangor FC menentang keras sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan selepas insiden kekecohan melibatkan pegawai pasukan serta penyokong ketika aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Turut mendapat perhatian dan kecaman hebat para penyokong bola sepak tempatan apabila pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab menendang pengadil dengan tindakan itu dianggap biadap dan tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemain bola sepak professional.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial rasmi kelab, pihak kelab mengambil maklum segala insiden yang berlaku dan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan selain turut menghantar bantahan terhadap mutu pengadilan.

“Pihak kelab mengambil maklum berkenaan insiden-insiden yang berlaku sekitar perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2023 di antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya baru-baru ini.

“Kelab Bolasepak Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak. Pihak kelab sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden-insiden tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepak Pengadil: “Tamatkan kontrak, hantar dia balik elok-elok”

“Selain itu, pihak kelab percaya bahawa sebarang penjelasan perlu melalui saluran yang bersesuaian dan oleh itu sebuah laporan mengenai mutu pengadilan perlawanan tersebut juga akan dikemukakan kepada FAM untuk pertimbangan yang sewajarnya.

“Pihak kelab akan mengumumkan tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan dalam masa terdekat,” tulis kenyataan itu.

Insiden kekecohan tidak hanya berakhir di dalam stadium malah berlarutan hingga keluar dengan kenderaan pengadil telah dilontar batu menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah dan pihak polis terpaksa mengawal keadaan penyokong yang berkumpul di hadapan stadium bagi mengelak berlakunya insiden yang lebih parah.