KELAB Selangor FC memohon penundaan perlawanan Piala Sumbangsih 2024 kepada Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas insiden yang menimpa pemain sayapnya, Faisal Halim.

Dalam kejadian pada Ahad itu, Faisal telah disimbah asid di sebuah pusat beli belah dalam perbuatan khianat itu dan kini ditempatkan dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital di Lembah Klang.

Pengumuman permohonan penundaan ini dibuat oleh Selangor FC menerusi kenyataan media yang disiarkan oleh laman sosial rasmi kelab namun segala keputusan akan bergantung kepada MFL.

“Rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku kebelakangan ini, pihak Selangor FC telah menghantar surat permohonan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024, Jumaat ini.

“Kami berharap faktor-faktor yang dinyatakan dalam surat permohonan tersebut akan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak FAM dan MFL,” tulis kenyataan itu.

Sebelum ini ada ura-ura menyatakan Selangor mahu menunda perlawanan tetapi ianya dinafikan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Redza yang mengatakan penundaan perlawanan tidak ada dalam pilihan yang dibincangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Piala Sumbangsih diteruskan mengikut jadual – MFL

FLASH SUKAN sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menyatakan tidak ada permintaan dari pihak Selangor FC untuk menunda perlawanan namun perkara itu kini berlaku selepas 24 jam.

Selangor bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim untuk merebut Piala Sumbangsih dan juga kemenangan pertama dalam perlawanan yang turut ditentukan sebagai aksi pembukaan Liga Super Malaysia musim 2024-25.