SELANGOR FC sedia bertanggungjawab sekiranya siasatan pihak berwajib mendapati mereka bersalah terhadap insiden ke atas pengadil yang berlaku selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Insiden yang tercetus selepas tamat perlawanan itu menyaksikan pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab menendang pengadil selain beberapa kakitangan dan pegawai pasukan dilihat cuba menyerang dan memprovokasi pengadil perlawanan yang dikatakan tidak mengadili perlawanan dengan adil.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Selangor FC dan Khind di Shah Alam pada Rabu.

“Sekiranya perkara yang dibawa oleh pihak berkuasa mempunyai bukti yang betul terhadap kami, sudah tentu kita akan ambil tanggungjawab tetapi buat masa sekarang kita hanya menunggu maklum balas daripada pihak-pihak berwajib sebelum kita ambil tindakan.

“Kami juga masih dalam proses siasatan dan beri kerjasama kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan dalam masa yang sama siasatan dalaman juga sedang dijalankan oleh pihak kami dan keputusan akan diumumkan kepada semua kelak,” katanya.

Johan turut menjelaskan ada beberapa faktor keselamatan yang masih longgar di stadium itu terutama kawalan terhadap pengadil perlawanan dan pihak kelab akan menambah baik perkara ini berdasarkan cadangan daripada beberapa pihak.

 

“Dalam mana-mana perlawanan keselamatan semua pihak adalah keutamaan kami dan kami akan cuba tambah baik bahagian yang perlu dengan mengambil cadangan dari beberapa pihak namun begitu kami bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku,” jelasnya.

Beberapa insiden yang terjadi dalam perlawanan itu memungkinkan Selangor FC berhadapan denda dan mungkin penggantungan dan perkara ini sudah pasti akan dijadikan iktibar buat semua yang terlibat supaya tidak melibatkan emosi ketika membuat keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN : Selangor FC menentang keras insiden tak hormat semangat kesukanan