SELANGOR FC sedia untuk bertanding di kejohanan jemputan antarabangsa, RCTI Premium Sports bersama-sama Sabah FC dan dua wakil Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Kejohanan empat penjuru melibatkan dua negara itu bakal menyaksikan tawaran hadiah wang tunai lumayan yang bakal dilangsungkan di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.
Skuad Gergasi Merah dijadualkan bertemu Sabah FC dalam perlawanan pertama pada 30 Mei jam 6 petang manakala Persija Jakarta dan PSIS Semarang akan beraksi dalam perlawanan kedua pada jam 8.30 malam.
Pemenang kedua-dua perlawanan akan beraksi di peringkat final untuk merebut kejuaraan manakala dua pasukan yang tewas akan bermain untuk penentuan tempat ketiga keeempat pada 2 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang hadir ke sesi sidang media di Jakarta menjelaskan penyertaan mereka di kejohanan ini dapat meningkatkan lagi persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia
“Sejak dahulu Selangor mempunyai hubungan baik dengan Indonesia kerana ada kejayaan kami adalah hasil dari sumbangan pemain Indonesia dan kembalinya kami ke sini mampu mengembalikan semula nostalgia buat penyokong kedua-dua negara.
“Ianya akan menjadi satu cabaran buat kami kerana bola sepak di Indonesia semakin meningkat dan kami mahu mempelajari sesuatu daripada kejohanan ini dan cuba untuk menang” katanya dalam sesi sidang media di Jakarta.
Juara Kejohanan RCTI Premium Sports itu bakal menerima hadiah wang tunai USD 30,000 serta trofi manakala naib juara bakal membawa pulang USD15,000 dengan tempat ketiga menerima USD10,000 dan tempat keempat akan mendapat ganjaran USD5,000.