SELANGOR FC bersedia untuk menerima sebarang denda atau hukuman daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) setelah memutuskan untuk ‘tidak hadir’ ke perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada hari ini (Jumaat).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar berharap agar apa jua keputusan yang dikeluarkan oleh pihak MFL itu, tidak terlalu membebankan kelab Gergasi Merah tersebut.

Setakat ini, pengurusan Selangor FC dan juga peminat bola sepak masih menanti pengumuman mengenai keputusan denda yang akan dikeluarkan oleh pihak MFL kemudian.

“Kita ini satu komuniti. Sebelum Selangor FC ambil keputusan untuk keluarkan kenyataan (tidak hadir) tersebut, kita telah berbincang juga dengan pihak Johor Darul Ta’zim (JDT). Perbincangan itu hati ke hati.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor FC.

“Tetapi saya faham kita semua perlu akur dengan sebarang keputusan daripada MFL, dan Selangor bersedia menerima apa-apa sahaja asalkan ia masih termaktub dalam peraturan dan undang-undang industri bola sepak di Malaysia.

“Harapan saya, kalau boleh janganlah nak mengeruhkan lagi keadaan. Biarlah ia reda jadi kita boleh terus pandang ke hadapan dan tinggalkan apa yang ada ini,” ujar Shahril ketika ditemui di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Shahril turut mendedahkan bahawa kondisi kecergasan para pemain Selangor FC berada pada tahap yang baik sekali gus menyangkal dakwaan bahawa terdapat pemain yang cedera, selain Faisal Halim.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa JDT telah diberikan kemenangan ‘walkover‘ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1), setelah Selangor FC mengumumkan bahawa mereka tidak hadir ke aksi Piala Sumbangsih 2024.