SELANGOR FC sentiasa bersikap terbuka untuk mengambil pemain Indonesia bagi mengisi kuota pemain import Asean sekiranya mendapati ianya sesuai dengan kehendak pengurusan dan corak permainan kelab.
Selangor sebelum ini pernah merekrut beberapa bintang Indonesia seperti Bambang Pamungkas, Allie Aiboy, Evan Dimas dan Andik Vermansyah yang memberikan kejuaraan kepada skuad Gergasi Merah suatu ketika dahulu.
Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui kelab dan para penyokong mempunyai rasa kasih sayang yang menebal kepada pemain Indonesia dan dia tidak menolak kemungkinan untuk membawa pemain skuad Garuda ke Petaling Jaya sekiranya pengurusan berkehendakkan khidmat mereka.
“Secara peribadi, Selangor ada kenangan yang manis dengan pemain Indonesia kerana mereka berikan impak dan kesan yang besar kepada kelab dari segi keputusan dan perasaan kami.
“Mereka sentiasa kerja keras dan berikan segalanya dengan etika kerja yang bagus selain mempunyai rasa kasih sayang antara pemain Indonesia dan Selangor. Sekiranya pengurusan benarkan, apa salahnya kerana penyokong mahu melihat aksi mereka di padang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan RCTI Premium Sports di Jakarta.
Dalam sidang media yang sama juga, Nidzam menolak untuk memberikan komen terhadap mutu padang di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) tetapi dia menegaskan tiga perkara diperlukan untuk mengiktiraf keadaan sesuatu padang itu dikatakan baik.
“Saya disini bukan ditempat untuk memberikan komen tentang padang tetapi bola sepak itu harus dimainkan di padang yang bagus, rata supaya ada jaminan permainan yang menarik, keselamatan pemain terjaga dan kepuasan penonton. Jika kita dapat tiga ini, bererti padang itu bagus,” jelasnya.
Selangor berjaya menewaskan Sabah FC 3-2 dan kini layak ke final untuk bertemu Persija Jakarta pada 2 Jun 2024 dan Nidzam sudah pasti akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk muncul juara sekaligus mengekalkan momentum kecemerlangan.