RONNIE Alan Fernandez menjadi wira Selangor FC setelah berjaya menghadiahkan dua gol ketika aksi Liga Super 2024-2025 menentang Perak FC pada petang Ahad, sekali gus memberi kemenangan 2-1 buat pasukannya.
Perlawanan yang bermula jam 5.30 petang itu telah menyaksikan penyokong Selangor FC mahupun penyokong pasukan pelawat, membanjiri tempat duduk di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Sepanjang 20 minit perlawanan, pasukan Selangor FC kelihatan lebih mendominasi perlawanan berbanding pasukan The Bos Gaurus apabila asakan demi asakan terus dilakukan pada gawang gol Perak FC.
Gol pertama akhirnya berjaya dilakukan oleh tonggak Gergasi Merah, Ronnie Allan Fernandez pada minit ke-24 perlawanan, sekali gus membakar lagi semangat rakan sepasukan untuk menambah jaringan buat Selangor FC.
Pada minit ke-40, Selangor FC telah dihadiahkan satu sepakan penalti dan Ronnie Allan berjaya menyempurnakan sepakan tersebut, menumbangkan penjaga gawang gol Perak FC, Mohd Ramdhan Ab Hamid.
Selangor FC membawa keputusan agak selesa, 2-0 ke babak kedua perlawanan manakala Perak FC pula perlu bekerja lebih keras untuk menyamakan jaringan dengan pasukan tuan rumah.
Seperti menerima suntikan semangat yang baharu, Perak FC tampil lebih agresif pada separuh masa kedua dan beberapa cubaan sepakan percuma telah dibuat namun masih gagal membolosi gawang gol Selangor FC.
Layangan kad merah telah dikenakan pada pemain Selangor FC, Alexander Agyarkwa dan tidak mustahil buat Perak FC untuk mencuri peluang sedia ada, demi memburu jaringan pertama di gelanggang MBPJ.
10,112 penonton yang hadir ke stadium telah menyaksikan Perak FC akhirnya berjaya membolosi gawang Selangor FC, menerusi sepakan melulu Muhammad Nur Azfar Fikri pada minit ke-79 perlawanan, sejurus keputusan 2-1 telah berakhir di stadium.