KAIN RENTANG ‘Kota Rom Tidak Dibina Dengan Kebodohan’ terpampang dengan jelas menggambarkan betapa kecewanya penyokong Selangor FC dengan skuad yang baru sahaja mendapat suntikan baru daripada jurulatih interim Gergasi Merah, Mohd Nidzam Jamil apabila terpaksa menelan kekalahan 0- 2 kepada Terengganu FC (TFC).
Sang Penyu langsung tidak menunjukkan sebarang tekanan apabila beraksi cemerlang dengan memperoleh gol pembukaan pada minit ke-13 menerusi pemain import Bahrain, Habib Haroon Haroon Saeed dengan jaringan 1-0.
Derita Gergasi Merah berterusan apabila mereka diaibkan pasukan pelawat dengan gol kedua pada minit ke-39 melalui hantaran lintang yang bijak disudahkan pemain kacukan Filipina-Jerman, Manuel Gelito Ott sekaligus meletakkan Penyu selesa 2-0.
Jentera tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dilihat seakan-akan ketandusan idea apabila tidak mampu menghasilkan sebarang gerakan bagi mengancam kubu lawan.
Meskipun Selangor sesekali cuba memperkemas gerakan dan melancarkan beberapa serangan, namun Sang Penyu lebih ampuh di bahagian pertahanan dan serangan.
Selangor FC turut menapat peluang keemasan apabila tandukan Herlison Caion de Souza menerjah jaring pada minit ke-87 perlawanan namun gol tersebut dibatalkan ekoran dia berada dalam posisi ofsaid.
Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Terengganu FC melonjak ke kedudukan keempat liga manakala Selangor FC terus terperosok ke tangga ke sembilan liga.