CACIAN dan makian dari Ultras Selangor mengiringi satu lagi episod suram dalam kamus bola sepak Selangor FC selepas sekali lagi mempamerkan aksi tidak meyakinkan dalam perlawanan Liga Super.

Perlawanan kedua pengendali interim Nidzam Jamil menyaksikan Selangor FC mengalami satu lagi kekalahan kali ini kepada PJ City FC 1-0 dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Sejak dari awal permainan ultras Selangor sudah menyanyikan lagu-lagu bernada makian dan cemuhan kepada pemain dan pengurusan yang masih gagal mencari kemenangan dalam empat perlawanan terakhir liga.

Aksi pemain-pemain Selangor FC dan PJ City FC.

 

Gol tunggal penyerang kebangsaan, Darren Lok pada babak kedua akhirnya kembali memberikan kemenangan kepada PJ City selepas 13 perlawanan gagal berbuat demikian.

Tidak banyak perubahan berlaku dalam permainan Red Giants dengan PJ City mengambil kesempatan menjaringkan satu gol menarik dan seterusnya mempamerkan disiplin bertahan yang baik sepanjang baki perlawanan.

Dengan hanya 680 orang penyokong yang hadir, ini memberikan isyarat yang jelas buat pengurusan Selangor FC bahawa para penyokong sudah muak dengan aksi yang ditunjukkan para pemain di atas padang.

Selangor FC yang sebelum ini kebal di laman sendiri kini mengalami tiga kekalahan berturut-turut dan dilihat seperti kehilangan idea dalam mencaturkan permainan untuk mencari jaringan dan kemenangan.

Dengan kekalahan ini, Selangor FC kekal ditangga kesembilan liga dengan 16 mata manakala PJ City kesepuluh tetapi berjaya menyamakan kedudukan 16 mata dengan The Red Giants.