KELAB Selangor FC sama sekali tidak akan melakukan protes atas pemberian kemenangan percuma dan kejuaraan Piala Sumbangsih kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana sedar ianya tertakluk dalam undang-undang pertandingan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menyatakan ini kerana pasukan Selangor menarik diri selepas permintaan penundaan perlawanan tidak dilayan oleh pengelola liga, Malaysian Football League (MFL).
Shahril juga mahu pihak MFL untuk tidak memperhalusi tindakan atau denda yang akan dikenakan namun pihak kelab bersedia atas apa sahaja keputusan yang akan dikenakan.
“Itu undang-undang dan saya tidak akan protes kerana dalam undang-undang pertandingan MFL, mana-mana pasukan yang tidak hadir, pasukan lawan akan diberikan kemenangan 3-0 dan atas sebab itu pihak Selangor FC tidak pernah pertikaikan keputusan ini.
“Itu hak MFL dan saya rasa itu hak JDT juga jadi saya rasa kita tidak perlu pertikaikan cuma harapan saya, sekiranya ada apa-apa tindakan susulan, kami harap pihak MFL perhalusi dahulu dan jangan mengeruhkan keadaan serta tidak membebankan atas dasar sayang pada bola sepak,” katanya ketika ditemui di hospital di Shah Alam.
Terdahulu Selangor FC telah mengambil keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan pembukaan Liga Super 2024-25 yang juga perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim atas alasan keselamatan selepas beberapa insiden melanda pemain dan pegawai pasukan.
Tindakan itu menyebabkan aksi Piala Sumbangsih terpaksa dibatalkan dan MFL memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata buat JDT untuk Liga Super serta kejuaaan Piala Sumbangsih – trofi ke-27 Harimau Selatan sejak 2013.