SYARIKAT pengeluar penghawa dingin terkemuka dari Jepun, Daikin Malaysia Sales & Services Sdn Bhd (DMSS) menyertai ahli keluarga Gergasi Merah Kuning apabila diumumkan rakan kerjasama dengan kelab bola sepak Selangor FC.
Mereka akan jadi rakan kerjasama Platinium bagi tahun 2023.
Perjanjian disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa dan Pengarah Urusan DMSS, Lawrence Song.
Majlis perjanjian disaksikan Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj, Ketua Pegawai Operasi DMSS, Shogo Ando dan Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.
Perjanjian ini menandakan lembaran baharu antara syarikat penghawa dingin terkemuka dunia dan sebuah kelab bola sepak yang mempunyai pelbagai sejarah kejayaan.
Tengku Amir Shah mengalukan kerjasama Daikin dan selamat datang ke keluarga Gergasi Merah Kuning.
“Saya berharap perjanjian kerjasama ini dapat menarik minat lebih banyak syarikat lain di Malaysia dan luar negara untuk menjadi rakan strategik Selangor FC pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ando menjelaskan, pihaknya percaya sukan bola sepak adalah sukan yang menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bahasa,agama dan kaum.
“Kami berharap hubungan kerjasama ini dapat memberi suntikan semangat yang lebih kepada Gergasi Merah Kuning menjelang musim 2023,” ujarnya.