SELANGOR FC mengumumkan Kumpulan Johawaki sebagai rakan strategik rasmi keluarga Gergasi Merah baharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2024-25 selepas kedua-dua pihak selesai menandatangani perjanjian kerjasama pada Selasa.

Kerjasama ini bakal menyaksikan sokongan berterusan daripada Kumpulan Johawaki kepada Selangor FC dari segi penajaan kewangan untuk kemudahan latihan serta pembangunan kelab.

Menerusi kerjasama ini, logo Kumpulan Johawaki akan dipamerkan pada jersi pasukan pemain Selangor dan juga pelbagai aplikasi digital pasukan sebagai penjenamaan kepada penaja.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC yang turut dihadiri oleh Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Akmal Johari serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Tengku Amir Shah jadi saksi kerjasama antara Selangor FC dan Kumpulan Johawaki 

“Melihat kepada perkembangan prestasi Selangor FC yang semakin meningkat cemerlang dengan halatuju yang konsisten semenjak berada di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama strategik dan menjadi sebahagian daripada rakan rasmi keluarga Gergasi Merah menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024-2025 ini.

“Kami berharap kerjasama strategik ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan jenama syarikat dan membuka lebih banyak peluang penerokaan meluas serta memacu kedua-dua pihak ke arah kecemerlangan.

“Kerjasama strategik korporat ini juga adalah bukti tanda sokongan kami kepada negeri Selangor selari dengan usaha tanggunggjawab sosial syarikat yang peka dengan pembangunan sukan tempatan disamping membina hubungan baik bersama komuniti serta masyarakat Selangor khususnya.

“Semoga kerjasama ini akan menyuntik lebih semangat kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang serta mengembalikan zaman kegemilangan Red Giants,” kata Mohamad Akmal Johari.

Kumpulan Johawaki jadi rakan strategik baharu Selangor FC untuk musim 2024-25

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa syukur beliau di atas penambahan rakan rasmi musim 2024-25 dan berharap ia mampu memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

“Kami di Selangor FC amat bersyukur serta berbangga kerana Kumpulan Johawaki turut ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah bagi musim ini. Oleh itu, kami akan berusaha untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Johawaki dan akan terus berkongsi kepakaran antara satu sama lain bagi sama-sama mencapai matlamat kerjasama ini,” jelasnya.

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menzahirkan rasa gembira sejurus selesai majlis memeterai perjanjian ini.

“Beta amat gembira dengan berita bahawa Kumpulan Johawaki ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC bagi musim 2024-2025. Beta berharap perjanjian kerjasama ini dapat menarik minat lebih banyak syarikat lain di Malaysia dan di luar negara untuk turut menjadi rakan strategik Selangor FC pada masa hadapan,” ujarnya.