SELANGOR FC semakin mempamerkan keyakinan dalam permainan dan terus menghambat Johor Darul Ta’zim (JDT) di persada liga dengan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kelantan FC 3-0.

Anak-anak buah Tan Cheng Hoe dilihat selesa beraksi dihadapan 5,761 penyokong dengan satu gol daripada Ayron Del Valle dan dua dari pemain gantian, Rauf Salifu cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat The Red Giants.

Kelantan dibawah pengendali Frank Bernhardt yang baharu diperkenalkan menunjukkan corak permainan yang baik meskipun terlihat perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan terutama pemain import.

 

Ayron Del Valle meletakkan Selangor didepan pada minit ke-28 selepas menerima hantaran Khuzaimi Piee untuk gol kelima peribadinya dalam Liga Super dan dilihat semakin selesa beraksi sebagai penyerang tunggal.

Kelantan sesekali melakukan serangan balas namun Ishmael Akinade gagal menyudahkan beberapa peluang satu lawan satu apabila kerap dipintas pertahanan Selangor di dalam kotak penalti.

Tan Cheng Hoe melakukan pertukaran pada babak kedua dengan mengeluarkan Ayron dan Faisal Halim untuk digantikan dengan Rauf Salifu dan Norhakim Hassan dan ianya menjadi satu pertukaran taktikal yang berkesan.

Selangor lebih garang menyerang dan Rauf Salifu membuktikan kemampuannya dengan gol pertamanya ketika permainan berbaki 10 minit untuk memberikan Merah Kuning kelebihan dua gol.

Ketika permainan hampir tamat, Rauf sekali lagi menceriakan para penyokong yang hadir dengan gol kedua peribadinya dan gol ketiga Selangor untuk memadam semangat melawan pemain para Kelantan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor kembali ke tangga kedua Liga Super dengan 19 mata dan pastinya kemenangan ini akan menjadi tonik menjelang aksi Piala FA bertemu Sri Pahang FC pada Sabtu.

Kelantan pula kekal di tangga ke-13 dari 14 pasukan dengan hanya empat mata selepas mengharungi lapan perlawanan dan bakal menghadapi Manjung City FC pada Jumaat dalam aksi Piala FA.